sambungan dari part 2…
Salam,
Hari ke-2 di Pulau Mabul, seawal jam 5;30 pagi aku sudah bangun. Bersolat subuh serta dengan bersegera meneliti jendela untuk melihat keindahan awal pagi. Memang dijangkakan suasana nyaman berangin serta kelihatan mentari pagi menyinarkan cahayanya. Aku bersama seorang lagi saudaraku sempat bergambar di hadapan chalet kami sebelum bersedia untuk menjelajah kawasan pulau.
Sebagai seorang fotografer amatur dalam bidang fotografi peluang begini memang tak dilepaskan. Peralatan digalas ke jeti perkampungan dan hasilnya memuaskan aku. Dari jeti sehingga masuk ke perkampungan orang tempatan menyaksikan pelbagai aktiviti kanak-kanak bermain, membaiki rumah, kanak-kanak berjudi & ibu-ibu memasak dan mencuci. Aku rakamkan satu demi satu walau dengam masa yang semakin terhad kenangan sebegini tak akan dilepaskan.
Meredah di dalam kawasan kampung adalah yang paling menarik minat aku terutama menyaksikan kanak-kanak kecil bermain tidak berpakaian…terkenang akan zaman kecil ku dulu. Malah ada diantara mereka tanpa segan silu memberi senyuman ketika perilaku mereka dirakamkan. Bagi para ibu-ibu kelibat aku tak dihiraukan langsung malah hanya tersenyum dengan kehadiran aku.
Hampir 2 jam menjelajah tiba masanya untuk kembali ke chalet untuk bersarapan dan bersedia untuk meninggalkan bumi Mabul. Tepat jam 11 pagi bot aku dah bersedia berlepas ke jeti semporna. Sempat juga merakam aktiviti berjual beli ketam & ikan oleh orang-orang kampung bersama penginap UCDL. Mereka membeli dengan harga yang murah dan meminta UCDL untuk memasak dan mengenakan sedikit bayaran. Memang berpuas hati bila melihat hasil tangkapan yang segar dan masih hidup kemudian dimasak.
Walaupun sudah sampai di jeti Semporna namun perjalanan aku masih jauh. Perjalanan menuju ke Bongawan, Papar dari Semporna dianggarkan masih berbaki sejauh 620km melalui jalan darat dan jangkaan aku memang tepat. Memandu selama 13 jam melalui bandar Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Tuaran, Kota Konabalu, Papar dan Bongawan memang memenatkan namun aku gembira dengan semua ini. Kata orang jauh perjalanan luas pengalaman.
Di Bongawan, aku tinggal beberapa hari sebelum berangkat ke Kuala Lumpur setelah menghabiskan cuti seminggu bersama keluarga sebelah isteri di sana. Banyak juga pengalaman lain yang mungkin akan dikongsikan sementara di kampung antaranya menyaksikan Monyet Proboscis dan jelajah Perkampungan Terapung Tanjung Aru & ke Pulau Mamutik serta Street Photog sekitar Kota Kinabalu.
Salam,
HAPD